Kalau - Kalau

Kalau - Kalau

Kalau-kalau langit malam kurang satu bintang,
Dan mencarinya,
Katakan, segugus ada di sini.
Di dalam hati.

Kalau-kalau sirna tidak seberapa pagi ini,
Dan memerlukan,
Katakan, sekelumit lagi ada di sini.
Di dalam hati.

Kalau-kalau benar untuk mengembalikan kenangan itu,
Terlalu mahal,
Berapa?
Mari aku beli dengan tahil emas ikatan janji tanpa tali.

Kalau-kalau kamu tiba lagi di sini,
Satu hari nanti,
Tunggu di luar sana,
Sekadar aku mahu cuma,
Membuka jendela hati,
Simbahkan cahaya dari hati ini,
Biar buta matamu.
Mata cintamu.

Azrey
0247AM
Oktober 29
KL

Baju Melayu Biru


“Aku nak tanya kau satu soalan, tapi kau jangan ambil hati sangat,” bicara Az kepada aku yang ketika itu sedang menyemai benih di Farmville.

“Hah? Apa dia?” Ujarku kembali. Sambil tersemai benih raspberry yang hasilnya cepat mati. Nak semai padi sebenarnya.

“Apa perasaan kau nak sambut raya tanpa orang tersayang ni eh? Aku dah lama dah rasa, sampaikan sekarang dah tak ada rasa apa,”

“Oh, ingatkan apa tadi,” aku taip yang itu dulu sambil mengetap bibir, aku tarikan jemari di atas papan kekunci tanpa menekan sebutir pun.

***


Aku masih ingat, tahun lepas, tema baju raya adalah warna biru (mestilah ingat, kan baru tahun lepas).

Tidak silap ingatan, malam itu pulang dari berbuka puasa di sebuah hotel ternama di Jalan Ampang bersama seisi keluarga. Tidak silap ingatan juga, itulah kali pertama kami seisi keluarga berbuka puasa bersama di luar.

Dalam kepenuhan dan kekenyangan aku akur dengan suruhan ayah, menyarungkan baju Melayu biru untuk berhari raya selang sehari dua lagi. Ayah nak tolong potong kaki seluar atau betulkan apa-apa yang patut.

Baju biru aku tahun sudah tak ada butang. Pakai butang cina. Eh, ke apa nama butang tu entah?

Lantas, aku sarungkan seragam biru baju melayu itu. Kembang, tak ‘fit’ dan menggelebeh. Hati aku sudah membebel memaki tukang jahit yang entah siapa.

Aku gegas ke hadapan televisyen. Di situ ayah sedang menggosok songkok.

“Menggelebehlah ayah, kembang semacam baju ni. Kain pun renyuk-renyuk,”

Ayah diam. Bukan tanda setuju. Tapi rupanya mata ayah tengah khusyu’ tengok siaran di televisyen.

Aku ulang ‘rengekan’ ketidakpuashatian aku.

Ayah kemudian menawarkan aku untuk mencuba baju melayunya. Biru. Tapi kain licin yang lain.

“Pakai je la ayah punya nak? Ayah ada lagi baju colour biru yang lain.”

Fikir dua kali, “ Eh, tak apalah. Takkan ayah nak pakai baju lama pula, baju yang ni pun ok. Kembang pun ok je”

Dalam hati kata mahu, tapi tak sampai hati pula. Biarlah. Sarung saja apa yang ada.

Ayah tawarkan lagi untuk aku pakai baju melayunya yang sedia tergantung di ruang menggosok. (Ruang menggosok?).

Aku menolak mesra.

“Tak apa, tahun depan kita pergi sama-sama tailor tu. Ukur kat sana,” ayah seolah mendengar jelas apa yang aku ujari di dalam hati.

Orang tailor buat baju guna baju melayu sample. Busy dengan persiapan event lepas raya. Tak sempat nak ikut pergi tailor.

“Tahun depan nak tema colour?” Tanya ayah.

***


BUZZ!

Terbawa aku kembali ke realiti.

Bergegar seketika skrin yang aku renung kosong dari tadi. Az mengulang hantar apa yang ditaipnya.

Aku cuma diam. Sambil menoleh almari baju yang ternganga. Disitu tergantung Baju Melayu Biru dan akan terus di situ.

Datang Bulan Ramadhan

SATU

A melewati satu gerai menjual nasi ayam dara yang popular.

Abang Penjual (bukan abang kepada penjual): Mari beli bang ayam dara panas-panas, anak dara pun ada bang.. ayam dara, anak dara, ayam dara, anak dara!!!

Jeritan abang itu semakin lama semakin lantang dan sepenuh hati cuba melawan keriuhan bazar itu.

Mengulang-ulang pekikkan 'ayam dara, anak dara'.

A: (Dalam hati) err.. ko kenape?


DUA

Perbualan telefon di antara H dan A.

H: Tak makan sahur ke? Nanti lapar siang kang.

A: Awak call ni kira sahur lah. Kenyang.


TIGA

Sedang jemaah bersolat terawih rakaat kedua, kedengaran nada dering Counter-Strike. Semakin lama semakin lantang.

Anak: (Dengan frekuensi dan intonasi teruja) Bah, ade counter-strike bah tuu...

Abah: Syhhh... khusyu' la sikit solat tu.

EMPAT

Tiga sahaja. Mari berbuka.

1 Ramadhan

Pekat malam. Hujan lebat seperti biasa

Aku berada di dalam sebuah kenderaan yang tidak pernah asing bagi aku. Di tempat duduk penumpang sebelah kiri.

Dan di sebelah aku, ada dia yang sedang memandu. Seperti suatu masa dahulu.


Aku : Kita nak pergi mana ni?

Dia : (Diam tersenyum)

Aku : Ayah... jangan pergi lagi eh...

Lantas terjaga dikejutkan hening malam tanpa apa.

Lantas dua tangan ini menekup wajah tanpa sebarang samar ini.

Istighfar. Al Fatihah.

Pastinya Ramadhan ini berbeza.

Salam Ramadhan semua.

Selamat merebut Jannah.

Melentur Buluh biarlah dari REBUNGnya

Salam buat semua pembaca yang dah tak tahu nak baca apa sebab saya jarang-jarang update laman ini.

Bagi pengetahuan semua, hari ini genaplah 3 hari saya berinternship di sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang merupakan pembekal perkhidmatan serta produk TelekoMunikasi utama di negara ini langsung ke persada antarabangsa.

Saya ditempatkan di Kumpulan Komunikasi Korporat (GCC) lebih spesifik, di unit Komunikasi Internal. Lebih spesifik lagi, di kubikel menghadap pintu ke pantri mahupun toilet aras 8 selatan.

Kekok juga mulanya. Mana tidaknya, selama ini biasa dengan suasana pejabat yang tidak seperti ini (rujuk: pejabat kolej). Tambah lagi, teruja melihat etika kerja serta produktiviti masing-masing yang seolah-olah tidak pernah mengenal jam 830 pagi atau 530 petang. Makna kata, sampai lebih awal dan pulang lebih lewat daripada saya yang acapkali menggigil kesejukan menahan hawa-hawa dingin yang datang dari lantai.

Kumpulan Komunikasi Korporat merupakan tonggak utama yang yang menjadikan jenama organisasi tempat saya bekerja ini sangat dikenali dan dapat dilihat di mana-mana termasuk dihampir kesemua stesen LRT yang anda naiki saban hari.

Newspaper cutting dan kemudian media monitoring diantara rutin yang perlu saya biasakan selama tempoh 3 bulan ini. Lain-lain tugas, diantaranya termasuklah mengikuti sesi penggambaran dan temubual - testimoni mengenai organisasi di Maritim Centre, Putrajaya, naik ke aras 55 dan membuat persiapan untuk sesi tembual bersama Dato'GCEO yang baru.

Selain daripada itu, kerja-kerja seperti menterjemah ucapan, nota, serta mengedit artikel turut saya lakukan untuk beberapa hari yang panjang ini.

Saya juga diberi peluang untuk memberi pandangan untuk konsep serta rekabentuk kempen visi dan misi baru organisasi. 7 lakaran telah saya siapkan pada hari kedua dan tiga daripadanya telah disenarai pendekkan.

Selain daripada itu, setakat hari ini, saya telah dan masih sedang menjalankan kajian berkaitan konsep serta pengisian in house environmental awareness yang bakal dilancarkan kelak.

Selain mendapat tiket penghargaan khas bagi teater muzikal di IB, saya juga mendapat pelbagai jenis merchandise yang dikeluarkan oleh unit kami.

Satu yang perlu saya biasakan, sama seperti berpuasa di siang hari, saya terpaksa berpuasa dari anasir-anasir yang melalaikan termasuklah FB, YM, Youtube serta lain-lain alternatif bagi mengakses laman tersebut seperti Meebo.

Apa-apa pun, doakan saya dapat belajar dan menimba pengalaman yang sangat bermakna sepanjang berada di unit paling popular di bangunan ketiga tertinggi di Malaysia ini.

Bak kata pepatah, nak melentur buluh, biarlah dari REBUNGnya.

Amin.

nota: Naik lrt hari-hari hanya dapat tengok mata hazel gadis bertudung ungu atau tidak bertudung kerana mereka semua bertopeng. Macam ayat-ayat cinta.